Carian

Ummul Quran

{بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ}( 1){الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}(2)

{الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ}( 3)

{مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ}(4) {إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ}( 5)

{اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ}(6)

{صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ }(7)


*Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang (1)
*Segala puji-pujian hanya bagi Allah,Tuhan seluruh alam (2)
*Yang Maha Pengasih lagi Maha penyanyang (3)
*Yang menguasai Hari Akhirat (Hari Pembalasan) (4)
*Hanya kepada Engkau lah kami sembah dan hanya kepada Engkau lah kami memohan pertolongan (5)
*Tunjukkanlah kami jalan yang lurus (di redhai) (6)
*Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat dan bukanlah jalan orang yang Engkau murkai (yahudi) atau jalan mereka yang sesat (7)



Perihal Ayat Surah Al-Fatihah

Sesungguhnya disepakati oleh para ulama’ ummah bahawa Surah ini mempunyai 7 ayat kecuali apa yang diriwayatkan dari Husain Al-Ju’fi bahawa ianya 6 ayat dan riwayat ini syadz (diragui) juga yang mengatakan ianya 8 ayat dan pendapat ini pun juga lemah (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 22 Jilid 1). Dipegang oleh jumhur bahawa ianya 7 ayat sebagaimana disebut dalam firman Allah : وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعاً مِّنَ ٱلْمَثَانِي وَٱلْقُرْآنَ ٱلْعَظِيمَ “Dan kami telah berikan kepada engkau (Muhammad), 7 ayat dari Masani (yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Quran yang agung.” (Surah Al-Hijr : 87).

Demikianlah pendapat jumhur menetapkan Al-Fatihah sebagai mempunyai 7 ayat termasuk meletakkan bismillah (بسم الله الرحمن الرحيم) sebagai ayat yang pertama.



Sejarah Penurunan Al-Fatihah

SURAH ini diturunkan di Makkah dan termasuk ayat Makkiyah menurut pegangan Ibn Abbas ra dan Qatadah serta Abu Ali’yah. Manakala menurut pendapat yang dipegang oleh Abu Hurairah ra, Mujahid, Atho dan Zuhri pula mengatakan ianya diturunkan di Madinah. Juga dikatakan ianya diturunkan di Makkah sebahagiannya dan di Madinah sebahagian yang lain seperti yang disebut oleh Abu Laits Nasir ibn Muhammad bin Ibrahim As-Samarqandi dalam tafsirnya. Namun yang paling benar ialah pendapat yang pertama kerana ianya terdapat dalam Surah Al-Hijr dalam ayat “Dan kami telah berikan kepada engkau (Muhammad), 7 ayat dari Masani (yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Quran yang agung” (Surah Al-Hijr:87).

Sesungguhnya Surah Al-Hijr ini termasuk surah Makkiyah juga sesungguhnya telah difardhukan solat sejak di Makkah lagi , dan solat itu dilakukan dengan membaca Al-Fatihah sebagaimana sabda baginda nabi :

لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب

“ Tidak ada solat tanpa membaca Al-Fatihah” (hadith riwayat Bukhari no. 756 dan Muslim no. 394 , Ahmad no. 428 Jilid 2, Tirmidzi no.247, Darimi no. 283 Jilid 1 ). Juga dikeluarkan oleh Al-Wahidi dalam Ashab Nuzul dan Sa’labi dalam tafsirnya dari riwayat Ali ra bahawa Al-Fatihah diturunkan di Mekah (Asbab Nuzul oleh Wahidi m/s 10).

Diriwayatkan oleh ahli ilmu bahawa ianya 25 kalimah dan hurufnya berjumlah 113 huruf. Dan menurut hadith yang diriwayatkan oleh Baihaqi menyatakan ianya merupakan surah terawal yang diturunkan seperti dalam kitabnya Dala’il Nubuwah. (lihat Muktasar Tafsir Ibn Katsir m/s 23 Jilid 1). Tetapi pandangan ini tidaklah tepat dan hadithnya tidaklah kuat namun ianya sekadar membantu untuk mengatakan ianya (Surah Fatihah) termasuk Makkiyah.


Nama lain bagi Surah Al-Fatihah

Al-Fatihah, (الفاتحة) Pembuka, sesungguhnya nama ini merupakan nama yang paling masyhur digunakan bagi merujuk kepada surah ini. Ianya disebut tanpa ada khilaf dikalangan ulama’ sebagai Fatihah kerana ianya dibaca sebagai pembuka kepada bacaan Al-Quran dan diletakkan pada awal dan permulaan surah dalam mashaf . Juga dibuka solat dengannya (Fatihah) (lihat Jami’ Ahkam Al-Quran m/s 116 Jilid 1 & Mukhtasar Ibn Katsir m/s 22 Jilid 1).

Ummul Kitab,(أم الكتاب) Ibu Kitab, disebut Surah Al-Fatihah dengan panggilan Ummul Kitab merupakan satu perkara yang dilakukan oleh ramai orang dan jumhur ulama’ . Walaubagaimana pun pemakaian nama “Ummul Kitab” ini wujud khilaf kerana dibenci dan ditegah oleh sahabat seperti Anas dan tabien seperti Ibn Sirin dan Hasan Al-Basri sebagaimana mereka berpendapat istilah ummul kitab itu hanya khusus kepada Lauh Mahfuz sebagaimana dalam ayat 4 Surah Az-Zukhruf . Namun sesungguhnya penggunaan nama Ummul kitab kepada surah fatihah mempunyai hujah dan dalil yang sabit (jelas) dari pertunjuk nabi sallahualahiwasalam seperti yang pernah disebut oleh baginda melalui riwayat Abu Hurairah ra bahawa rasulullah pernah bersabda :

الحمد لله رب العالمين أم القرأن وأم الكتاب والسبع المثاني والقرأن العظيم

“ Segala puji hanyalah bagi tuhan sekalian alam, Ummul Quran dan Ummul Kitab serta Sab’u Masani dan Al-Quran yang agung.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 4704, dlm bab Tafsir, Kitab fathul Bari Jilid 12 ).

Ummul Quran, (أم قرأن) Ibu Kitab, juga disebut sebagai Ummul Quran sebagaimana hadith yang telah dinyatakan sebelumnya ( أم القرأن ). Selain itu, ianya dijadikan sebagai pemula dalam Quran, dibaca sebagai pemula dalam solat, dan berkata Yahya ibn ya’mar bahawa ianya : Ummul Qura’ kerana diturunkan di Makkah, dan ummul Quran. (Jami’ Ahkam Quran m/s 116 Jilid 1).

Juga disebut sebagai “Solat”, ( الصلاة) sebagaimana dalam hadith Qudsi riwayat Abi Hurairah bahawa rasul salallahualaihiwasalam bersabda bahawa Allah swt berfirman : الصلاة بيني و بين عبدي نصفين قسمت “ Sesungguhnya aku bersumpah dengan Solat bahawa antara aku dan hambaku baginya dua bahagian” (Hadith Sahih, riwayat Muslim dalam bab solat Musafir, no.395 & Abu Daud no. 861).

Al-Hamd (الحمد) Pujian, juga disebut Surah Al-Hamd, kerana padanya disebut ayat al-hamd (lihat Jami’ Ahkam Quran m/s 116). Juga sebagaimana dalam hadith Qudsi riwayat Abi Hurairah bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda bahawa Allah swt berfirman :

الله حمدني عبدي فاذا قال العبد الحمد لله رب العالمين قال

“ Dan bila hambaku berkata segala puji bagi Allah tuhan sekalian Alam , maka Allah pun berfirman hambaku sedang memuji aku.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim dalam bab solat Musafir, no. 395 & Abu Daud no. 861).

Sab’ul Masani, ( والسبع المثاني ) digelar sedemikian kerana dikhususkan bacaannya pada setiap rakaat dalam solat serta dibaca secara berulang-ulang saban hari dan tiap solat. Juga disebut sedemikian kerana distimewakan ummat ini dengannya dan tidak diturunkan kepada ummat sebelumnya . (Jami’ Ahkam Quran m/s 117 Jilid 1).

Al-Qur’an Al-Azim, (القرأن العظيم) disebut sedemikian kerana ianya mengandungi pemujian kepada nama Allah swt dengan menyifatkannya dengan segala kesempurnaan dan ketinggian dan perintah pengibadatan dan keikhlasan. (Jami’ Ahkam Quran m/s 117 Jilid 1).

As-Shifa’,(الشفاء) Penyembuh, diriwayatkan oleh Ad-Darimi’ dari Abi Sa’id Al-Khudri bahawa diriwayatkan rasulullah pernah bersabda “ Fatihatul Kitab ini penyembuh dari segala racun.” (Diriwayatkan oleh Darimi’ dalam Fadha’il Quran 445/2 no. 5826).

Ar-Ruqiyyah (الرقية) Perlindungan, jampi dan penawar, diriwayatkan dari hadith Abi Sa’id Al-Khudri bahawa rasulullah pernah bersabda kepada seorang lelaki dengan sabda-nya “ Apakah kamu tidak tahu bahawa sesungguhnya ia adalah ruqqiyah (jampi ? penawar) ?”. (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 2276 & Muslim 2201 ).

Al-Asas, (الأساس) sebagaimana yang disebutkan oleh Sya’bi “ Setiap perkara itu mempunyai asasnya dan katanya, asas Al-Quran itu ialah surah Al-Fatihah dan asas Al-Fatihah ialah Bismillah.” (lihat Jami’ Ahkam Quran m/s 117 Jilid 1 & Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 22 Jilid 1).

No comments:

Post a Comment