Carian

Anak Zina Melayu



Menurut data Jabatan Pendaftaran Negara bahawa anak luar nikah melayu/Islam yang didaftarkan pada tahun 2007 seramai 16,100, pada tahun 2008, 16,541 dan pada tahun 2009, 17,303. Dalam tempoh 5 tahun, dari tahun 2005 hingga tahun 2009 telah mencatatkan 74,723 pendaftran anak luar nikah melayu/Islam. Masya Allah, ini benar-benar memalukan dan jumlah yang amat mengerikan bagi umat Islam.

Zina adalah perbuatan yang paling terkutuk dan salah 1 daripada 7 DOSA BESAR di sisi Islam. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang dosa perbuatan zina yang terkutuk dan jelek itu, antaranya firma Allah S.W.T. di dalam surah Al-Furqan ayat 68-69; yang bermaksud:

"Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain disamping Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina. Sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya dan akan digandakan baginya azab pada hari kiamat, dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan".





Zina merupakan perbuatan mungkar dan tidak berakhlak, bahkan mendatangkan akibat yang sangat buruk kepada pelaku,keluarga dan masyarakat. Ini telah dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam surah Al-Isra' ayat 32; yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)".

Ayat tersebut menjelaskan bahawa zina dianggap sebagai perbuatan yang sangat keji kerana ianya merupakan jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia serta mendapat seksaan dan azab di akhirat.
Hadith riwayat Al-Baihaqi bahawa rasulullah s.a.w bersabda:

"Wahai golongan Muhajirin! Ada lima perkara buruk yang aku pohon agar tidak menimpa kalian. Antaranya adalah; tidak merebak perzinaan dalam sesebuah bangsa sehingga mereka melakukan dengan sewenang-wenangnya melainkan akan tersebar di kalangan mereka pelbagai penyakit yang belum pernah menimpa umat Islam sebelum mereka".

Seiringan dengan perkembangan teknologi dan komunikasi masa kini, kita dapati banyak perkara yang merangsang nafsu syahwat telah menjadi sebahagian dari kehidupan seharian masyarakat kita. Jutaan gambar lucah sama ada dalam bentuk foto mahu pun video terlalu mudah didapati melalui internet. Sebahagian rancangan televisyen juga menyadurkan kisah-kisah percintaan lelaki dan perempuan yang menambahkan rasa ghairah kepada penonton.Ini belum lagi vcd dan dvd lucah dan penyalahgunaan telefon bimbit.Semuanya mendorong kepada perlakuan maksiat dan penzinaan.
Daripada Abdullah bin Amru bin Al-Asr r.a rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Tidak akan berlaku kiamat itu sehingga orang berzina dijalanan sebagaimana keldai. Aku bertanya: Adakah itu akan terjadi? Jawab Baginda:" Ya! Nescaya akan terjadi".
(Riwayat Ibnu Hibban, At-Tabrani)


Fenomena ini jelas merosakkan keturunan dan memporak-perandakan umat manusia kini berada pada tahap yang amat serius dan mesti ditangani segera oleh semua pihak. Antara langkah-langkah yang mesti dilakukan segera oleh umat Islam ialah:

Pertama : Mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menghidupkan budaya ilmu di kalangan umat Islam. Peranan institusi keluarga mentarbiyah dan mengawasi pergerakan anak-anak mestilah dipertingkatkan dan memastikan hanya Islam sebagai asas pembinaan keluarga ke arah " Baiti Jannati " (Rumahku Syurgaku).

Kedua : Penjanaan dan pembentukan insan soleh oleh institusi pendidikan hendaklah ditingkatkan, bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi melahirkan kesedaran dan kefahaman yang boleh memandu generasi pelajar ke arah penghidupan yang positif berlandaskan agama yang dipraktikkan.

Ketiga : Masyarakat hendaklah berperanan membendung gejala pergaulan bebas di kalangan remaja dan muda-mudi. Konsep " Ad-Din Nasihah" (Agama Itu Nasihat), penyusunan aktiviti dan program hendaklah dilaksanakan bagi membendung gejala-gejala ini. Peranan masjid, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan ahli masyarakat hendaklah jauh lebih proaktif dalam mewujudkan suasana yang aman dan selesa.

Keempat : Tanggungjawab kerajaan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berlandaskan Islam dan kerjasama yang bersepadu melibatkan semua pihak untuk membanteras kegiatan pelacuran dan persundalan. Aktiviti-aktiviti pergaulan bebas terutamanya di kalangan generasi muda haruslah disekat dengan cara yang sebaiknya.

Kelima : Mengamalkan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya supaya berkahwin untuk menjauhi perbuatan zina. Dengan cara inilah mereka akan mendapat nikmat perhubungan suami isteri yang sah dan zuriat yang suci untuk menyambung keturunan mereka.





Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nur ayat 32;yang bermaksud:

"Dan kahwinkanlah orang bujang di kalangan kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaan-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya), lagi Maha Mengetahui".

Keenam : Meyakini dengan pendekatan Islam sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah ini. Pihak berkuasa pula hendaklah memainkan peranan yang amat penting bagi melaksanakan hukum Islam dalam usaha menegakkan yang ma'aruf dan mencegah yang mungkar. Kita hanya meyakini sekiranya Islam ditegakkan baharulah masalah-masalah ini akan selesai.

Pihak kerajaan juga disarankan untuk melaksanakan beberapa langkah pencegahan gejala seks bebas daripada terus berleluasa, antaranya;

1. Membenarkan pihak polis memeriksa telefon bimbit remaja untuk mengelakkan mereka daripada menyimpan bahan-bahan lucah.
2. Menguatkuasakan peraturan bagi menghalang remaja bawah umur 18 tahun keluar rumah selepas jam 12 malam.
3. Menyekat laman web lucah, mengawal siber kafe dan penjualan perisian tidak bermoral.


Apabila seseorang itu melakukan perzinaan, bererti dia telah mengaibkan diri dan ahli keluarganya sendiri. Ini kerana perbuatan zina bukan sahaja menyalahi etika hidup manusia bertamadun, bahkan ianya juga melanggar tatasusila dan tuntutan agama. Apabila wanita ini hamil dan melahirkan anak hasil perzinaan, maka anak ini tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang berzina dengan ibunya, lantaran itu ia hanya boleh dinasabkan kepada ibunya sahaja. Sekalipun si ibu berkahwin dengan lelaki itu, ia tetap tidak dianggap sebagai anaknya yang sah. Inilah antara nasib malang yang terpaksa ditanggung oleh anak disebabkan dosa yang telah dilakukan oleh ibubapanya. Bahkan apa yang lebih buruk lagi, anak-anak yang baru dilahirkan ini dibuang begitu sahaja atau dibunuh dengan berbagai cara semata-mata untuk menutup kesalahan yang telah mereka lakukan. Masalah zina ini, sebenarnya masalah kerakusan dan keserakahan syahwat. Cumanya, natijah syahwat zina ini amat merisaukan umat manusia yang waras. Ianya boleh meruntuhkan keharmonian institusi kekeluargaan, menggugat struktur pewarisan harta, menjejaskan keamanan sosial di mana akan timbul daripadanya gejala penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
Oleh itu, perbuatan zina ini dianggap kesalahan jenayah yang wajib dijatuhkan hukuman jenayah syariah apabila memenuhi syaratnya. Bahkan Islam memandang serius jenayah zina ini kerana kesannya kepada sosial amat mengerikan.

Allah S.W.T. telah memberikan ancaman keras kepada perbuatan terkutuk ini agar manusia merasa takut untuk mendekati zina, apatah lagi melakukannya.

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukuman Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh sekumpulan daripada orang yang beriman".
(An-Nur) : 2

1 comment:

  1. rmai giles anak tak sah taraf..tp ksiaan..kal0 x snggup bela tuh meh la ant0 cni,sy susah2 pun snggup nak neng0k baby tuh..tp jgn ler buang..dh bzina,mnambah d0sa lg..ish3..

    ReplyDelete