Masalah lumba jalanan haram atau rempit dan juga jenayah ragut akhir-akhir ini menjadi satu masalah baru yang melanda negara kita. Aktiviti merempit bukan sahaja berlaku di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Georgetown, bahkan juga telah menular ke bandar-bandar kecil dan kampung-kampung di seluruh negara.
Sementara itu, jenayah ragut yang semakin menjadi-jadi juga amat membimbangkan orang ramai. Sehingga dua orang wanita yang hamil masing-masing telah meninggal dunia di Johor Baharu dan Kota Bharu.
Persoalannya, apakah punca sebenarnya sehingga ramai semakin berani untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah ini?
Adakah kerana kepuasan peribadi, pengabaian ibu bapa tanpa pendidikan, kegagalan intitusi pendidikan atau penguatkuasaan undang-undang yang lemah?
Sebenarnya semua pihak berperanan dalam mengatasi masalah ini. Institusi kekeluargaan terutamanya ibu bapa perlu bertanggungjawab dan memiliki akauntabiliti dalam mendidik anak-anak . Ini kerana penglibatan remaja dalam kumpulan mat rempit sebenarnya kerana dipengaruhi oleh rakan-rakan di samping kurangnya pemantauan oleh ibu bapa. Berapa ramai dari kita prihatin di mana anak kita berada mulai waktu mahgrib hingga 12.00 malam kerana waktu ini dianggap waktu kritikal dalam kita mengawasi pergerakan anak-anak kita.
Melepas bebas anak-anak pada waktu tersebut khususnya dihujung minggu tanpa pengawasan ibarat durian runtuh bagi remaja yang sentiasa memberontok untuk menikmati keseronakan tanpa memikirkan bahaya yang menunggu. Ibu bapa juga perlu lebih peka dengan siapa anak-anak mereka berkawan dan ke mana anak-anak mereka sering menghabiskan masa kerana mereka boleh mempegaruhi ke arah gejala tidak sihat.
Gejala rempit sebenarnya menjerumuskan insan ke lembah kebinasaan. Ia seolah-olah menghulurkan nyawa atau membunuh diri dan satu perbuatan yang ditegah oleh agama: Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
"Janganlah engkau sengaja mencampakkan dirimu ke lembah bahaya kebinasaan dan baikilah(dengan sebaik-baik usaha) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik"
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu bersama-sama memainkan peranan yang lebih proaktif dan cekap dalam mengatasi masalah rempit dan jenayah ragut di negara kita. Usaha berterusan pihak PDRM dalam mengatasi masalah rempit di negara kita harus mendapat pujian. Operasi bersepadu secara berkala perlu dilaksanakan. Tindakan menyamar dengan turut sama terlibat dalam aktiviti mereka merupakan antara pendekatan sesuai bagi mencari dalang perlumbaan haram dan aktiviti ini.
Usaha mendekati golongan yang digelar "Mat Rempit" seharusnya diberikan pujian. Umumnya golongan ini terdiri daripada kumpulan anak muda yang leka dengan keseronokan dunia mereka sendiri. Aktiviti utama kumpulan ini adalah berlumba di jalan raya. Apabila telah terlibat dengan gejala ini, maka aktiviti negatif lain akan muncul seperti jenayah peras ugut, rogol, rompak, ragut dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana mereka perlu mendapat sumber kewangan untuk "maintainance" motosikal mereka agar lebih berkuasa bagi digunakan dalam aktiviti merempit nanti.
Pihak berkuasa juga diminta memperbanyak pembukaan litar-litar lumba bagi memberi peluang kepada mereka menunjukkan bakat di tempat yang sewajarnya. Litar-litar sementara dengan menutup jalanraya sediada ada pada malam minggu boleh diparktikkan dengan memenuhi piawiaian keselamatan yang ditetapkan. Dengan ini faktor kos juga boleh dikurangkan..
Pihak berkuasa juga perlu mewujudkan papan tanda menunjukkan statistik bulanan bilangan remaja yang terbunuh, patah tangan atau putus kaki akibat lumba haram. Ia wajar diletakkan di kawasan yang sering menjadi tumpuan mereka atau lokasi perlumbaan haram. Secara tidak langsung akan memberi kesedaran betapa bahaya dan buruknya tabiat tidak berfaedah ini.
Jenayah ragut pula masih melingkari golongan yang sama kerana ia merupakan salah satu kerja mudah mendapatkan wang untuk keperluan aktiviti rempit. Dalam keadaan terdesak mereka tidak mengira mangsa hatta wanita mengandung juga menjadi mangsa yang membawa kepada kematian. Perlakuan terancang oleh seorang atau dua dengan menaiki motosikal ini perlu dibenteras dengan kerjasa semua pihak. Masyarakat perlu bertindak balas dengan segera apabila jenayah ragut ini berlaku dengan bertindak beramai-ramai mengepung penjenayah atau terus menghubungi polis.
Secara teorinya kes ragut dirujuk kepada mat rempit. Ini adalah kerana kebanyakan peragut menggunakan motosikal untuk aktiviti ragut, walaupun peragut itu kadangkala bukannya mat rempit tetapi mat pet. Kepada mat rempit dan mat ragut hari ini anda selamat, minggu depan anda selamat, bulan depan anda selamat tetapi ingat, jerat tidak akan lupakan pelanduk. Anda hanya ada 3 pilihan :
a. pilih masuk penjara
b. pilih masuk neraka
c. pilih masuk kubur
DISEDIAKAN OLEH :
Unit Penerangan Dan Penerbitan
Bahagian Dakwah, JAIS
sgt menyampah tgk mat rempit~
ReplyDelete