Carian

Marah

Nabi S.A.W dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa seorang laki-laki telah datang kepada Nabi S.A.W lalu berkata: "Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah". Lalu beliau bersabda: " Jangan engkau marah". Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.
Setiap manusia ada mempunyai sifat marah. Binatang pun begitu. Seekor kucing yang jinak dan manja misalnya akan menjadi marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali misalnya. Sifat sabar sebenarnya adalah sebagai penghalang dari sifat marah. Walau bagaimanapun kesabaran ada had dan batasnya. Apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.
Menurut Imam Al-Ghazali, Sikap marah ialah nyalaan api yang bersumber daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik kehati. Maka terpulang kepada seseorang samaada dia mempunyai sifat seorang yang cepat marah atau marah yang keterlaluan (marah tak bertempat) yang disebut sebagai ifrath atau marah yang I'tidal iaitu marah yang pertengahan (dia mampu mengawal marahnya atau marah yang bertempat) ataupun Tafrith iaitu orang yang tak tahu marah. Marah yang sederhana adalah marah yang terpuji manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah yang keterlaluaan adalah termasuk dalam marah yang terkeji yang dilarang oleh nabi sebagaimana hadis yang di atas.

Marah yang keterlaluan amat dilarang oleh Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi yang tidak baik. Samaada dari orang yang marah tetapi juga orang yang kena marah. Kerana marah ada rumah tangga yang runtuh, kerana marah anak-anak didera, kerana marah pembunuhan berlaku, kerana marah anak-anak lari dari rumah, kerana marah ada majikan yang ditetak oleh pembantu rumah atau sebaliknya,kerana marah ada orang yang berpiket atau tunjuk perasaan, kerana marah orang saman menyaman, kerana marah ada orang yang kena tukar tempat kerja dan banyak lagi.



Menurut Imam Al-Ghazali, sifat marah adalah disebabkan oleh 10 punca atau sebab:

1. Rasa bangga diri ( sombong)
2. Takjub kepada peribadi sendiri
3. Suka bergurau senda yang berlebih-lebihan dan melampaui batas
4. Suka bercakap perkara yang sia-sia
5. Suka membuat fitnah
6. Suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara
7. Khianat
8. Tamak kepada harta dan pangkat
9. Tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi
10. Dengki dan irihati


Apabila seseorang itu marah maka pergerakkan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan yang semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata menjadi tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina dan merendah-rendahkan orang yang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya menjadi terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara yang betul, semua tindakannya benar-benar mengikut nafsu kemarahannya, yang penting, puas, menang dan berjaya mengalahkan orang yang dimarah. Bagi orang yang waras tentu kita tidak sanggup untuk melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.

Marah bukan berlaku pada orang yang awam sahaja, tetapi juga orang yang mempunyai kedudukan. Tapi yang paling menggelikan hati apabila orang ugama yang berstatus Ustaz, ustazah, tuan Guru, Ulamak, Dr marah dan melenting. Persoalan akhlak, maruah diri dan undang-undang tidak lagi menjadi penilaian. Yang penting aku betul orang lain salah. Apatah lagi muka terpampang di dada akhbar dan dikaca tv, seluruh rakyat melihat dengan terang dan jelas. Kadangkala orang awam boleh menilai bahawa orang yang berkenaan itu ada sifat mazmumah seperti ego, tidak menerima kebenaran, berbangga dengan kedudukan, jawatan, sijil, ijazah, ilmu yang dimiliki sedangkan semua ilmu itu menjadi amanah Allah. Inilah marah yang dikeji.

Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan. Iaitu marah yang bertempat. Sebagai contohnya seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi telah mengajar kepada kita dalam hadisnya: „ Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur 7 tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur". Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengistiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran. Perlu ada marah.

Contoh yang paling hebat yang berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali K.W berada dalam satu peperangan dimana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya. Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi untuk membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: " Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana kamu meludahku". Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.
Wallaua'lam. Sama-sama kita renungkan.


Rujukan:
Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor

1 comment: