Carian

Antara Sunnah dan Adat

Hidup berpasangan adalah satu fitrah yang telah sedia tertanam dalam jiwa manusia seluruhnya. Justeru, Islam amat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. Dengan adanya ikatan perkahwinan, jiwa menjadi tenang dan tenteram, mendapat keturunan yang halal lagi sistematik, sekali gus ikatan perkahwinan juga dapat mengawal diri daripada berlakunya pelbagai bentuk penzinaan, homoseksual, pelacuran dan sebagainya. Setiap pasangan yang telah berkahwin pasti mengimpikan sebuah perkahwinan yang bahagia dan rumah tangga yang harmoni beralaskan kasih sayang, cinta mencintai dan kasih mengasihi antara suami dan isteri.

Rata-rata masyarakat Melayu Islam di Malaysia dulu dan kini mengadakan kenduri kahwin bagi meraikan pasangan pengantin yang telah dinikahkan dengan mengadakan jamuan makan kepada orang ramai, khususnya kepada saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kenduri untuk pernikahan sepasang pengantin ini merupakan unjuran dan sunnah Rasulullah SAW. Hukumnya adalah sunat muakkad (sangat dituntut). Hal ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a katanya : ‘Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi SAW menjadi seorang pengantin dengan Zainab ibn Juhsy, baginda mengundang orang ramai, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.' (Riwayat al-Bukhari)
Dari Anas bin Malik ra menyebut bahawa Rasulullah SAW telah melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya : ‘Kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab : Wahai Rasulullah aku telah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas. Sabda Rasulullah: ‘Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.'


Di negara kita bulan November dan Disember atau yang menandakan waktu cuti sekolah kebiasaannya dipenuhi dengan pelbagai jemputan ke majlis perkahwinan. Paling tidak dalam satu hari pasti mendapat jemputan sebanyak dua atau tiga buah rumah. Waktu ini dipilih kerana masanya yang sesuai untuk semua sanak saudara dan ahli keluarga dapat berkumpul berbanding hari-hari biasa.

Antara hikmah Islam mengalakkan diadakan kenduri kahwin adalah:

Melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana dapat mendirikan rumah tangga.
Melahirkan rasa kegembiraan atas ikatan perkahwinan.
Mengisytiharkan kepada orang ramai bahawa pasangan telah menjadi suami isteri yang sah.
Memberi peluang kepada para tetamu bersuai kenal di samping merapatkan hubungan silaturrahim.
Jika diperhatikan amalan dalam masyarakat kita, jarang sekali kedengaran ucapan selamat atau mendoakan pasangan yang baru berkahwin. Apa yang biasa didengar adalah "Selamat Pengantin Baru", "Semoga bahagia hingga ke anak cucu" dan sebagainya. Sebaliknya Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh doa yang terbaik untuk diamalkan seperti mendoakan kebaikan, keberkatan dan memohon keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan pengantin mendapat berkat yang selayaknya dan kita juga mendapat ganjaran kerana mengamalkan sunnah baginda. Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW jika memberikan ucapan doa kepada pasangan yang berkahwin, baginda berkata ‘Semoga Allah memberikan keberkatan padamu, dan menyatukan kamu berdua dalam kebaikan.' (Riwayat Abu Daud)


Sunnah dalam mengadakan kenduri;

Diadakan secara sederhana yang tidak perlu membawa kepada pembaziran. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan. Masyarakat kita pada hari ini kebanyakkannya mengadakan kenduri kahwin sampai terpaksa berhutang. Itulah amalan manusia yang lebih mementingkan adat dari sunnah Nabi sendiri.
Kenduri dilakukan tanpa sifat riyak dan bangga diri.
Tidak mengandungi unsur-unsur khurafat atau adat-adat yang membawa kepada syirik
Tidak menghidangkan makanan yang mengandungi syubhah.
Tidak mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak) dan hiburan yang melalaikan.
Tidak mengkhususkan jemputan hanya untuk orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin dilupakan.
Disunatkan menghulurkan pertolongan bagi mengurangkan beban tuan rumah dan dapat menyuburkan semangat gotong royong di kalangan masyarakat.

Laksanakanlah walimah atau kenduri kahwin sekadar mampu. Apa yang penting ia dilakukan dengan niat yang ikhlas selain untuk memanjatkan kesyukuran tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bukan kerana menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Mudah-mudahan majlis yang diadakan dilimpahi berkat dan keredhaan Allah SWT. Kenduri yang berkat itu amat penting sama pentingnya akad nikah mengesahkan ikatan suami isteri. Apalah gunanya jika wang dihabiskan untuk majlis besar-besaran tapi jauh daripada keberkatan Allah sehingga pengantin terpaksa berhutang dan meminjam. Hal ini memberi implikasi dalam melaksanakan tanggungjawab suami isteri dan membina keluarga bahagia. Justeru, laksanakanlah walimah berlandaskan sunnah semoga perkahwinan diberkati Allah SWT.


Rujukan:
Bahagian Dakwah,
Jab.Agama Islam Selangor

No comments:

Post a Comment