Carian

Ngular Dalam Bekerja?

   Diantara salah satu tuntutan didalam syariat islam yang diwahyukan oleh allah s.w.t keatas umatnya ialah anjuran agar berusaha dan bekerja didunia ini.Allah s.w.t menyebutkan didalam al-quran dengan firmannya:

"Katakanlah (wahai muhammad):"Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan rasulnya serta orang yang beriman dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang nghaib dan yang nyata,kemudian dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".
(At-Taubat ayat 105)
   Daripada ayat tersebut diatas jelas menunjukkan ,bahawa seruan agar hamba-hambanya berusaha dan bekerja dimuka bumi ini.Terdapat banyak ayat suci al-quran dan hadis-hadis yang menyeru agar manusia memperlihatkan kesungguhan didalam kehidupan ini.


   Sesungguhnya Islam telah mewajibkan umatnya untuk berusaha dan mencari rezeki bagi menampung kehidupan didunia ini tanpa mengira jenis pekerjaan asalkan bertepatan dengan syariat Islam.Saranan tersebut telah jelas dalam Al-quran :
Maksudnya:
"Dan sesungguhnya kami telah menetapkan kamu (memberi kuasa) dibumi, dan kami jadikan untuk kamu padanya berbagai jalan penghidupan supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur".
(surah Al-A'raaf ayat 10 )

Dari Ibnu Umar R.A. telah bersabda Rasulullah S.A.W. :
Maksudnya:
"Tidak diterima iman tanpa amal dan tidak diterima amalan tanpa iman".

   Islam amat tegas dalam soal mencari nafkah hidup didunia.Walau bagaimanapun, islam melarang manusia mementingkan dunia sehingga melupakan urusan akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. melalui firmannya dalam surah Al-qisas ayat 77 :
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadaMu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia ; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadaMu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah) ;dan janganlah engkau melakukan kerosakkan dimuka bumi ; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakkan".

   Islam telah menetapkan satu prinsip yang jelas berkaitan sesuatu kerja yang boleh dikategorikan sebagai ibadat. Imam Ghazali dalam kitabnya Ikhya' Ulumuddin menjelaskan bahawa setiap pekerjaan itu hendaklah menepati ciri-ciri berikut iaiatu :
(1) Niat dan tujuan kerja itu mestilah untuk menjunjung perintah Allah.
(2) Kerja yang dilakukan tersebut tidak bercanggah dengan syariat Allah S.W.T.
(3) Kerja yang dilakukan adalah dengan bersungguh-sungguh dan tidak memudaratkan.
(4) Kerja tersebut tidak menghalang daripada menunaikan syariat Allah S.W.T. seperti solat, puasa dan sebagainya.
  
   Asas utama kerja yang dapat diterima sebagai ibadat ialah kerja yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T. Kerja yang dilakukan bukan kerana Allah S.W.T.adalah sia-sia dan tidak dianggap sebagai ibadat.Betapa pentingnya niat itu sehinggakan para ulamak telah meletakkan hadis berkaitan niat sebagai mukadimah dalam kitab-kitab mereka.Contohnya dalam kitab Matan Arbain susunan Imam Nawawi Rahimullah .Sabda Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya :
"Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niat . Dan sesungguhnya amalan seseorang itu akan dinilai berdasarkan apa yang diniatkan".
( Riwayat Abu Daud )

   Selain dari niat yang suci kerana Allah S.W.T., pekerjaan tersebut perlu sesuai dan tidak bercanggah dengan syariat Allah. Hari ini ramai pekerja mengakui bekerja kerana Allah namun disebalik kerja yang dilakukan jelas ia bertentangan dengan Allah seperti membuka aurat, kerja ditempat yang diharamkan seperti tempat perjudian,kelab-kelab malam,tempat yang terlibat dengan riba' dan seumpamanya. Bagaimana mungkin kita boleh dikatakan kerja tersebut sebagai ibadat  jika yang dilakukan bertentangan dengan syariat Allah ?.

   Didalam sebuah hadis riwayat Bahari bahawa rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Manusia yang paling rugi pada hari kiamat ialah orang yang menerima rezeki dari sumber pekerjaan yang haram hingga mereka masuk neraka".

   Begitu juga terdapat sebahagian pekerja pada hari ini, kadang-kadang mereka begitu bersungguh-sungguh dengan niat yang baik dalam kerja. Namun hakikatnya, mereka tidak menjaga hubungan dengan Allah dan manusia seperti mengamalkan rasuah, salah guna kuasa, menipu, hasad dengki sesama rakan sekerja dan sering mengadu dumba Mereka ini sebenarnya adalah orang yang rugi dalam kehidupan kerana menganggap mereka dapat kemuliaan disisi Allah tetapi sebenarnya mereka adalah orang yang tertipu. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam surah Hud ayat 15 :
Maksudnya :
"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-quran tentang sah batalnya), maka kami akan sempurnakan hasil usaha mereka didunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya ".

   Dalam memenuhi syarat untuk menjadikan kerja sebagai satu ibadat seterusnya ialah setiap pekerjaan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerja yang dilakukan dapat memenuhi kehendak pelanggan dan dapat meningkatkan produktiviti serta memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan. Setiap pekerja perlu berusaha dengan sebaik mungkin dan sedia menghadapi segala karenah dengan bersikap sabar,tekun,berwawasan dan seumpamanya. Adalah merupakan satu kesalahan jika kerja yang diamanahkan dibuat sambil lewa. Islam begitu tegas berkaitan kerja secara bersungguh-sungguh ini sehingga dijelaskan oleh Nabi S.A.W. :
Maksudnya :
"Sesungguhnya Allah S.W.T. suka apabila seseorang diantara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh".
(Riwayat At-Tabrani)

   Apa pun kedudukan kita dalam pekerjaan , kita akan dipersoalkan dan akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah S.W.T. Sama ada kita sebagai majikan ataupun sebagai pekerja, kita wajib untuk melaksanakan segala amanah yang dipikul. Kita juga wajib mematuhi segala peraturan dan hukum yang telah digariskan oleh islam. Sabda Nabi S.A.W. :
Maksudnya :
"Bahawa sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan, pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya".
(Riwayat Muslim)

   Marilah kita bersama-sama bertekad dan menguatkan azam untuk meningkatkan kualiti kerja supaya kerja kita dinilai sebagai ibadat oleh Allah S.W.T. Semoga kehidupan kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T didunia dan diakhirat.
Maksudnya :
"Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sudah tetap kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya".


Rujukan: JAIS

No comments:

Post a Comment